Tangisan dan raungan semakin kuat kedengaran tatkala melihat keadaan ngeri mangsa yang rentung dan sudah tidak lengkap anggota badan dibawa keluar dari bangunan kilang yang hangus terbakar. Lapan jentera bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan(2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamat mangsa.
Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kepayahan lantaran pelbagai masalah timbul. Tekanan air terlalu rendah, pili jauh, api merebak terlalu cepat, angin kencang serta beberapa letupan menghalang tugas memadam dengan lebih mudah. Apabila pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke tiga rumah berhampiran kilang. Akhirnya pasukan bomba terpaksa menggunakan air yang dibawa sendiri dan selepas bertungkus lumus selama dua jam, mereka akhirnya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain di sekitar kawasan berhampiran

Sembilan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), lima dari Hospital Sungai Buloh berulang alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah. Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu.
Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter. Bomba dan pasukan penyelamat lain terus memantau keadaan di tapak kilang itu sehinggalah ke malam. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya.
Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.

SEHARI selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buluh itu. Satu daripada mayat itu iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati 83 orang cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis, juga menerima aduan mengenai kehilangan enam penduduk tempatan. Selain itu, 37 rumah dan kilang serta tujuh motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu. Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri.
Kemudian satu persatu kisah yang terselindung di sebalik tragedi itu mula terbongkar. Kilang mercun dan bunga api itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978 malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur! Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan. Ia berpunca daripada kelalaian pihak kilang yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas sehingga terkena longgokan simpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran seterusnya letupan semakin merebak. Keadaan semakin sukar dikawal ketika kebakaran berlaku kerana tiada usaha awal memadamkan api dan juga peralatan pencegahan kebakaran tidak disediakan secukupnya di kilang itu.

Hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun. Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, penyebaran gas beracun itu semakin buruk sehingga menyebabkan lebih 50 anggota pasukan penyelamat dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan kerana terkena gas beracun itu. Kemudian operasi diteruskan dengan penyelamat terpaksa mengenakan topeng gas dan pakaian khas. Pasukan penyelamat juga menggunakan dua jentolak bagi membersihkan tapak kilang.

Pada 16 Mei, pihak berkuasa melancarkan ‘Operasi Api Buluh’ untuk membersih dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang berkenaan. Dalam operasi itulah, petugas menjumpai beberapa lagi mayat dalam mengerikan iaitu hangus terbakar sehingga menjadi rangka dan tengkorak di kawasan letupan dan jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu meningkat kepada 26 orang.
Walaupun sudah beberapa hari berlalu, gas toksid masih tidak menghilang malah semakin merebak kepada beberapa penduduk berhampiran. Tujuh anggota penyelamat turut pengsan selepas tersedut gas itu. Keadaan semakin bahaya apabila walaupun sudah masuk hari ke-11, masih terdapat bara api yang muncul di tapak letupan itu tetapi ia berjaya dikawal pihak berkuasa yang segera memadamkannya.
Nota sampingan:
Berita ni adalah ehsan dari Berita Harian.Ku abes menulis 1 coretan pada
:Pukul 2:17pm Rabu 9 Jun 2010.
Nenek pernah berkate
:"Jangan main mercun, nanti jari putus."
.fullstop.
Hello silent reader, why not you leave a comment. I really appreciate that. :)