Aku nak update blog, malangnya tak tahu nak update apa. Aku syak Twitter telah mematikan nafsu blogging aku. Sedih juga rasanya bila mengenangkan blog yang tidak ber-update ni. Adakah ini yang dinamakan fenomena writer's block? Eceh, macam penulis novel gamaknya. Padahal hanya penulis blog picisan. Oh, bercakap tentang novel, aku sekarang sedang mendalami (dibaca; membaca) novel hasil nukilan novelis thriller no.1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid bertajuk Mandatori. Baru baca sampai Segmen 11, masih jauh lagi pembacaan dan penghayatan yang perlu aku lalui.
Mandatori mengisahkan seorang lelaki bernama Carlos yang menyimpan dendam untuk menuntut keadilan. Hukuman mati di tali gantung yang dikenakan ke atas seorang pemandu menjadi titik permulaan baginya mencipta mahkamah keadilannya sendiri. Dialah pendakwaraya dan dia jugalah hakim yang menjatuhkan hukuman. Peguambela? Tidak pernah wujud peguambela dalam kamus mahkamah keadilannya kerana baginya, pendakwaan membawa erti kesalahan yang telah terbukti. Sesiapa yang diadili olehnya pasti akan menerima hukuman dengan sekali perbicaraan dan yang pasti hukumannya ialah hukuman mati mandatori.